MAPIM | Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia

PADA DASARNYA, MAPIM DITUBUHKAN buat mengurus dan menyelesaikan masalah yang dihadapi umat Islam seluruh dunia. Antaranya masalah dalaman dan luaran berkenaan isu global berkait politik, ekonomi, budaya, sosial dan pertahanan. Secara khususnya, MAPIM adalah rakan perundingan dan penyelaras agensi pertubuhan-pertubuhan Islam untuk mewujudkan persepakatan dalam tindakan mendepani isu-isu Islam, perbincangan berterusan mengenai kaedah dakwah Islam yang berkesan dan pembinaan “Khairo Ummah” secara keseluruhannya.
MAPIM rancak menyuarakan kehendak umat Islam di dalam dan luar negara dan sehingga kini MAPIM bergerak aktif bersama 88 buah pertubuhan Islam di Malaysia seperti  SHURA, TERAS, SALIMAH, JIM, ABIM, ISMA, PUM, GAMIS, WEHDAH, BARAKAH, PERKID, RURAL CITIZEN, JAMAI’IY, FORUM, IMPAK, IMAD, BAKUN, MUHAMMADIYAH INTERNATIONAL, GADIS, PERMUAFAKAT dan UMAH AID.

Sejarah Penubuhan

MAPIM digerakkan oleh sebuah Sekretariat Kongres Umat Islam Se- Malaysia (KIMA). Ia ditubuhkan oleh kepimpinan yang mewakili pertubuhan-pertubuhan Islam yang menyertai Kongres Umat Islam Se-Malaysia. Kongres ini berjaya dilaksanakan pada tahun 2006 di Kompleks Yayasan An Nadhah, Kubang Semang, Pulau Pinang.Tercetus idea penubuhan MAPIM setelah Persidangan Kebangsaan pertubuhan-Pertubuhan Islam pada 27-28 Oktober 2007 yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan. Penubuhan ini terkandung dalam Resolusi Deklarasi Permuafakatan Serambi Mekah (DPSM). Pada 17 Ramadhan 1429H/2008, MAPIM terus menapak selangkah lagi dengan satu sidang khas pertubuhan-pertubuhan Islam bertempat di kediaman Menteri Besar Perak. Dalam pertemuan ini, kepimpinan yang mewakili pertubuhan Islam seperti ABIM, JIM, TERAS, PUM, JAMAIY, PAKSI, PKPIM dan lain-lain NGO Islam telah bersetuju menerima pakai kaedah dan peraturan MAPIM untuk memperjelaskan lagi struktur da mekanisme pergerakan MAPIM.Pada 1 Muharram 1430H/2009, dalam sidang berikutnya berlangsung di Pendang, Kedah, MAPIM berjaya menghasilkan dokumen rujukan bagi melicinkan lagi gerakan MAPIM di peringkat nasional. Saat ini MAPIM bergerak secara aktif dengan pelbagai program di peringkat kebangsaan dan ikut terlibat dalam isu-isu umat Islam antarabangsa.Pada 29 Oktober 2012, MAPIM telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan dengan nombor pendaftaran: PPM-009-10-29102012.Kini MAPIM adalah rakan perundingan dengan pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain untuk mewujudkan persepakatan dalam tindakan mendepani isu-isu Islam, perbincangan berterusan mengenai kaedah dakwah Islam yang berkesan dan perkongsian maklumat dari masa ke semasa.

Pernyataan Falsafah MAPIM

MAPIM berpegang kepada falsafah seluruh manusia sebagai Khalifah Fil Ardhi dan tugas manusia dalam kehiddupan berbangsa dan bernegara adalah untuk merealisasikanfalsafah ini dalam kehidupan yang nyata. Dengan yang demikian pernyataan falsafah ini akan hanya boleh dihayati jika dakwah Islamiah dijalankan denan dalil yang jelas dan kukuh, Firman Allah Ta’ala,
قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.”

~Surah Yusuf, 12:108.

Matlamat MAPIM

Membangun semula seluruh komuniti Islam berasaskan prinsip-prinsip Al Quran dan As Sunnah selengkap dan seutuhnya. Untuk itu MAPIM akan bergerak untuk merealisasikan menjadikan Islam sebagai sebuah sistem hidup yang ideal dan menyeluruh sebagai pengabdian mutlak kepada Allah SWT dalam seluruh aspek kehidupan.

Iltizam MAPIM

Meningkatkan keberkesanan, menggabungkan seluruh kekuatan, membina wibawa pertubuhan-pertubuhan Islam dengan:

  1. Program sahsiah dan nilai hidup muslim.
  2. Menggerakkan usaha menjadi pembela kepada hak umat.
  3. Membina jaringan dan penggabungan sumber tenaga serta membangun tamadun Islam yang unggul dan dihormati.
  4. Melakukan advokasi berterusan untuk menjayakan transformasi umat ke arah menegakkan keadilan Islam.